Baqarah [258] Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad)
tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai
Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi
Ibrahim berkata: Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan
Yang mematikan.
Dia menjawab: Aku juga boleh menghidupkan dan
mematikan. (lalu diambil 2 orang pemuda, seorang dibunuh dan
seorang lagi dibiarkan hidup)
Nabi Ibrahim berkata lagi: Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu
terbitkanlah ia dari barat?
Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu)dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum
yang zalim. …Baqarah [258]
Nabi Ibrahim dibakar
Akhirnya Raja Namrud mengambil keputusan agar Nabi Ibrahim dibakar
dengan api atau unggun yang besar. Maka Namrud pun terus memerintahkan seluruh
rakyatnya agar menyediakan api besar hinggakan sampai peringkat burung-burung
tidak berani untuk terbang di atasnya kalau terbang juga mereka akan terbakar
kerana nyalaan api yang besar itu.
Setelah sampai masa yang telah ditetapkan, Namrud pun duduk di
atas singgahsana sambil terus melihat kepada api yang sangat besar itu di dalam
hatinya terselit kegembiraan yang sangat kerana sekejap lagi Nabi Ibrahim akan
mati dibakar api, dia gembira kerana api akan memakan seorang yang tidak mahu
beriman dengan tuhan mereka.
Mereka pun mengikat Nabi Ibrahim pada satu tiang seakan-akan
lastik yang besar dan terus Nabi Ibrahim di lemparkan ke dalam api yang besar
itu. Mereka terkejut melihat Nabi Ibrahim kerana ketika mahu dilemparkan dia
begitu tenang sekali langsung tidak meronta-ronta ataupun melawan. Lebih
terkejutlah lagi bila mereka saksikan bahawa Nabi Ibrahim langsung tidak di
makan oleh api bahkan dia boleh berjalan ke sana sini pula dalam api tersebut.
Al Anbiyaa[69] Kami berfirman:
Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!
Sesungguhnya Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Ibrahim dari kejahatan
dan kezaliman si Raja Namrud.
Namrud Berlawan Dengan Tentera Nyamuk
Namrud mempunyai tentera sebanyak tujuh ratus ribu penunggang kuda
dengan senjata yang lengkap. Namrud berkata kepada Nabi Ibrahim: “Hai Ibrahim, jika Tuhanmu mempunyai
malaikat, maka kirimkanlah kepadaku untuk berperang denganku. Jika sanggup
ambillah kerajaanku ini.”
Maka Nabi Ibrahim as. munajat kepada Allah SWT: “Ya Ilahi sesungguhnya Namrud dengan
tenteranya menunggu kedatangan tenteramu, maka kirimkanlah kepada mereka
tentera daripada selemah-lemah makhlukmu iaitu nyamuk.”
Ketika Namrud dan tenteranya telah berkumpul di padang yang luas,
maka Allah memerintahkan nyamuk keluar dari lautan. Lalu keluarlah tentera
nyamuk hingga menutupi permukaan bumi dan langit. Kemudian nyamuk bertanya: “Ya Tuhan kami, apakah yang harus kami
laksanakan?” Allah berfirman: “Aku
telah menjadikan rezeki kamu semua pada hari ini berbentuk daging tentera
Namrud.”
Kemudian Allah SWT memberikan kekuatan kepada nyamuk-nyamuk
tersebut. Lalu nyamuk-nyamuk tersebut menyerang tentera Namrud, menghisap semua
darah mereka, Allah memerintahkan kepada nyamuk agar menunda penyeksaan
terhadap Namrud. Agar ia dapat melihat sendiri kehancuran tenteranya. Maka
nyamuk-nyamuk itu pun membiarkan Namrud sehingga ia dapat pulang ke istana.
Nabi Ibrahim as. merasa hairan dan takjub melihat peristiwa
tersebut. Kemudian Allah berfirman kepadanya:
“Wahai Ibrahim, demi kemuliaan
dan keagungan-Ku, sekiranya engkau tidak meminta kepada-Ku supaya mengutus
tentera nyamuk, tentu aku akan mengirimkan yang lebih halus daripada nyamuk,
jika seribu di antaranya berkumpul menjadi satu tidak mencapai besarnya nyamuk,
tentu akan aku musnahkan juga mereka dengannya.”
Ketika telah dekat seksaan untuk Namrud, lalu Allah
memerintahkan seekor nyamuk tempang sahaja untuk menjalankan tugas tersebut.
Nyamuk itu berkeliling di sebatang pohon selama tiga hari. Setelah sampai tiga
hari, maka ia masuk ke dalam kepala Namrud melalui lubang hidungnya. Namrud merasa sakit dan mengarahkan
rakyat yang menghadapnya mengetuk kepalanya dengan kasut. Bila diketuk dengan
kasut dia berasa lega. Akhirnya
nyamuk tempang itu memakan otak Namrud selama 40 hari.
Begitu besar sifat pengasih dan penyayang Allah SWT. Allah
tidak menyeksa Namrud dengan segera, tetapi masih diberi masa ia bertaubat.
Masa tiga hari yang diberikan terhadap nyamuk tersebut tidak digunakan oleh
Namrud untuk menerima kebenaran Allah SWT. Maka jadilah Namrud tergolong ke
dalam orang-orang yang dimurkai Allah SWT.