Maryam Puteri Imran


Maryam Puteri Imran


“Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.”

"Dan Mariam, puteri Imran, yang menjaga kemaluannya, maka Kami menghembuskan ke dalamnya daripada Roh Kami, dan dia mengesahkan Kata-Kata Pemeliharanya dan Kitab-Kitab-Nya, dan menjadi antara orang-orang yang patuh"
Seorang wanita tua termenung kesedihan menghadapi hari-hari mendatang. Suami yang dikasihinya baru saja meninggal dunia, sedangkan dalam usia yang sedemikian tua, dengan kudrat yang sudah lemah, dia perlu menjaga kandungannya yang sudah kian tiba waktu untuk melahirkan. Dia mengingat-ingat pula tentang nazarnya kepada Tuhan, bahawa anak yang bakal dilahirkan itu akan diserahkan ke Baitul Maqdis untuk mengabdikan diri dirumah suci itu.
Siang berganti malam, hari berganti minggu. Akhirnya tibalah saat yang ditunggu-tunggu. Wanita tua itu mulai merasakan kesakitan untuk melahirkan. Hatinya berbunga dengan harapan, bahawa masa untuk menunaikan nazarnya sudah hampir tiba. Dia mengharapkan anak itu akan menjadi hamba yang soleh yang kemudiannya melahirkan pula keturunan yang mulia dan terhormat di muka bumi ini.
Namun, hatinya bergoncang sewaktu mendengar suara tangis bayi yang dilahirkan, kerana didapatinya bayi itu seorang perempuan, bukannya lelaki sebagaimana yang diharap-harapkannya. Fikirannya buntu dan runsing. Bagaimanakah seorang perempuan hendak mengabdikan diri di rumah suci itu? Dapatkah nazarnya itu ditunaikan?
Dengan perasaan sedikit kecewa dan berbelah bahagi, bayi itu diambilnya lalu dibelai dan dicium. Bayi itu diberinya nama Maryam, yang bererti pengabdi Tuhan. Serentak itu dia memanjatkan doa agar Allah menjaga dan melindungi Maryam dan keturunannya dari godaan syaitan yang terkutuk.

Maryam dijaga dengan sepenuh kasih sayang. Dalam pada itu, wanita tua itu masih tidak lepas daripada memikirkan tentang nazarnya kepada Tuhan. Setelah berfikir dengan mendalam, gerak hatinya cenderung untuk segera menyerahkan Maryam ke Baitui Maqdis untuk diasuh oleh para pendeta di sana agar Maryam menjadi seorang ahli ibadah.
Pada suatu malam yang sunyi sepi, wanita tua itu membalut tubuh Maryam baik-baik, disiapkan segala keperluannya, lalu dibawanya keluar menuju ke Baitul Maqdis. Para pendeta di sana menerima kehadiran Maryam dengan senang hati, bahkan mereka berebut-rebut pula hendak mengasuh Maryam. Akhirnya melalui undian yang dijalankan, Nabi Zakaria terpilih sebagai pengasuh Maryam. Beliau menjaga Maryam dengan begitu rapi dan penuh kasih sayang. Maryam dianggap seperti anaknya sendiri kerana pertalian darah yang ada. Tambahan pula, Nabi Zakaria sendiri tidak mempunyai anak.
Maryam ditempatkannya di sebuah bilik yang besar, di tingkat atas rumah suci itu, manakala di bahagian bawah bilik itu ialah tempat Nabi Zakaria beribadah. Nabi Zakaria juga mengawal ketat tangga menuju ke bilik Maryam, yang mana tidak ada seorang manusia pun yang dibenarkan masuk ke bilik tersebut.
Nabi Zakaria tidak pernah jemu mengasuh Maryam. Baginya, itu adalah amanah Allah yang mesti dijalankannya dengan sesempurna mungkin. Keadaan ini berterusan sehinggalah Maryam meningkatkan remaja.
Suatu hari, berlakulah suatu kejadian yang begitu mengejutkan Nabi Zakaria. Sewaktu dia melalui bilik Maryam, dilihatnya di hadapan bilik itu terhidang makanan yang belum disentuh. Nabi Zakaria tertanya-tanya, siapakah yang berani menceroboh tempat itu dan menghantar makanan ke tempat Maryam. Namun, perasaan itu disimpannya saja dan dibiarkan teka-teki itu bermain di kepalanya.
Keesokannya, Nabi Zakaria melakukan kawalan yang lebih ketat di tangga menuju ke bilik Maryam. Tetapi sekali lagi beliau terkejut apabila mendapati ada lagi makanan yang terhidang di hadapan bilik itu. Dalam kehairanan yang amat sangat, Nabi Zakaria pun menemui Maryam dan bertanya kepadanya.
"Dari manakah datangnya makanan ini, wahai Maryam? Sedangkan pintu ini sentiasa tertutup dan tiada siapa pun yang boleh melalui kawasan ini selain aku?" soalnya.
Maryam menjawab dengan tenang: "Makanan itu adalah dari Allah. Allah memberi rezeki kepada siapa yang dia kehendaki tanpa dihisab."
Mendengar keterangan Maryam itu, insaflah Nabi Zakaria bahawa Maryam adalah seorang hamba Allah yang luar biasa, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Tuhan.

Suatu hari, sewaktu sedang khusyuk beribadah kepada Allah, tiba-tiba terpacullah seorang lelaki di hadapan Maryam. Maryam amat terkejut dan berasa takut. Segera Maryam berbicara: "Sesungguhnya saya beriindung kepada Allah dari kejahatan engkau, jika engkau seorang yang takut kepada-Nya."
Lelaki itu mengisyaratkan Maryam supaya bertenang. Katanya: "Sesungguhnya saya diutus oleh Tuhan untuk memberi kamu seorang anak yang suci."
Maryam kehairanan lalu membalas: "Bagaimana saya akan memperoleh seorang anak, sedangkan saya tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?"
"Demikianlah jika Allah kehendaki. Dia menjadikan mudah pada perkara yang dianggap mustahil."
Selesai berkata demikian, lenyaplah lelaki itu dari pandangan Maryam. Tinggallah Maryam. dalam keadaan hairan dan tertanya-tanya apa yang bakal terjadi kepadanya kelak.
Setelah berlalu waktu beberapa lama, Maryam mulai merasakan bahawa kandungannya sudah membesar. Hatinya sangat risau memikirkan tanggapan masyarakat kepadanya kelak apabila mengetahui dia melahirkan bayi tanpa bapa.
Akhirnya, Maryam mengambil keputusan untuk memencilkan diri di kawasan yang jauh dari kota. Di sanalah dia menanti waktu untuk melahirkan, sambil dengan patuh beribadah kepada Allah SWT. Di situlah juga dia mengubat hatinya yang dalam kesedihan dan gundah-gulana.
Apabila waktu melahirkan sudah semakin dekat, Maryam keluar dari tempat peribadatannya, lalu pergi ke tempat lain yang lebih terpencil dan jauh dari orang ramai. Hatinya menangis dan merintih dengan apa yang terjadi ke atas dirinya. Hingga ada kalanya dia merasakan lebih baik dia mati sebelum semua ini terjadi ke atas dirinya.
Apabila terasa olehnya waktu melahirkan sudah semakin hampir, ketika itulah kesedihan, ketakutan dan kekhuatiran dalam dirinya memuncak dengan sehebat-hebatnya. Dialah manusia yang paling berat ditimpa kemelut ketika itu. Dia berasal dari keluarga yang terhormat dan suci, dan orang ramai sendiri mengakui bahawa dia seorang wanita yang suci dan mulia. Tetapi dengan apa yang berlaku kini, sudah pasti orang ramai akan mencela dan menghinanya sebagai wanita tidak bermoral.
Tetapi penanggungan perasaan yang berat itu ada kalanya menjadi reda apabila Maryam memikirkan bahawa semua itu adalah ketentuan dari Allah. Malah, bayi yang akan dilahirkannya itu bukanlah sembarangan orang, tetapi seorang manusia agung dan mulia yang akan menjadi nabi kepada umat pada zamannya.
Akhirnya, setelah hampir benar kandungannya hendak keluar, Maryam duduk di bawah sebatang pohon kurma yang kering, di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Dia duduk di situ seorang diri tanpa seorang teman pun. Tidak ada siapa yang akan menolongnya, kecuali Allah yang Maha Penyayang.
Di bawah panas terik mentari dan langit yang terbentang luas, maka lahirlah seorang bayi lelaki yang sempurna sifatnya. Dengan perasaan yang terharu dan sedih, Maryam menatap wajah puteranya dengan linangan air mata. Tubuh badannya terasa lemah longlai kerana sudah habis tenaganya melahirkan bayi itu. Apatah lagi tidak ada makanan dan minuman yang dapat mengembalikan semula kekuatan tubuhnya.
Maryam menyandarkan tubuhnya di batang pohon kurma itu. Tangannya memangku bayi yang baru dilahirkannya itu, manakala matanya terpejam rapat. Tiba-tiba dia mendengar satu suara bergema di sekelilingnya:
"Janganlah engkau berdukacita. Sesungguhnya Tuhanmu sudah mengadakan sebuah anak sungai kecil yang mengalir hampir denganmu. Dan goncanglah batang kurma itu, nanti akan gugurlah buah-buahnya yang telah masak. Makan dan minumlah, dan tenangkanlah hatimu. Sekiranya engkau melihat seseorang bertanya, maka beritahulah bahawa engkau bernazar tidak akan berkata-kata sepatahpun pada hari ini."
Maryam pun melakukan seperti yang disuruh oleh suara itu. dia melihat tanah yang gersang berhampirannya tiba-tiba merekah dan mengeluarkan air yang amat jernih. Air itu dijangkaunya dengan tangannya, lalu diminum sepuas-puasnya. Dengan tangannya yang masih lemah itu, digoncangnya pohon kurma itu, lalu berguguranlah buah-buah kurma yang masak dari pohon itu. Maryam pun makan sehingga kekuatan tubuhnya pulih kembali.
Maryam kembali ke desa yang dihuninya sebelum ini. Maka berdatanganlah orang ramai dan jiran tetangganya apabila mengetahui bahawa Mariam pulang dengan membawa seorang bayi.
Maryam dihujani dengan pelbagai pertanyaan, tetapi dia tidak menjawab sepatahnya setelah memaklumkan tentang nazar yang dibuatnya. Maka orang ramai pun membuat pelbagai andaian terhadap Maryam. Ada yang menuduhnya dengan tuduhan yang jelik, ada pula yang menganggap perkara itu satu keajaiban.
Keesokan harinya, mereka kembali menemui Maryam untuk meminta penjelasan mengenai perkara itu, kerana mereka tahu nazar Maryam sudah pun berakhir. Tetapi dengan tegas Maryam berkata kepada mereka: "Inilah anakku. Tanyakanlah kepadanya hakikat kejadian yang tuan-tuan tanyakan itu."
Orang ramai menjadi hairan, sebahagiannya mengejek dan mempersendakan apa yang dinyatakan oleh Maryam. Tiba-tiba kedengaran bayi itu berkata: "Sesungguhnya aku ini seorang hamba Allah. Diberinya kepadaku sebuah kitab (Injil) dan dijadikannya aku seorang nabi. Dijadikannya aku seorang yang berguna (memberi berkat), buat manusia di mana aku berada, diwasiatkannya kepadaku mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat selama aku hidup. Dan aku berbakti kepada ibuku, tiadalah aku dijadikan Tuhan seorang yang sombong dan pendurhaka. Selamatlah diriku ketika aku dilahirkan, ketika aku mati, dan ketika aku berbangkit hidup kembali."
Mendengar perbicaraan bayi itu, orang ramai mulai insaf dan percaya. Mereka yakin dengan kesucian Maryam. Kisah itu pun tersebar ke merata-rata tempat, sehingga setiap orang menunggu-nunggu besarnya anak itu sebagai seorang utusan Allah kepada mereka.